Kerajaan Sarawak umum BKSS 9.0 bernilai RM1 bilion

Spread the love

Blog%20telegram

Kerajaan Sarawak umum BKSS 9.0 bernilai RM1 bilion


KUCHING: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan Pakej Bantuan Khas Sarawakku
Sayang (BKSS) 9.0 yang merangkumi lima langkah bagi tempoh enam enam bulan
mulai Julai hingga Disember 2022.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika mengumumkan pakej
khas itu hari ini berkata, kerajaan Sarawak akan membelanjakan RM1 bilion
untuk BKSS 9.0, termasuk RM700 juta khusus untuk golongan kontraktor.

Katanya, BKSS 9.0 adalah bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat
akibat inflasi.

“Sekarang adalah masa yang sangat mencabar bagi kita disebabkan beban kos
sara hidup yang semakin tinggi.

“Saya mendengar keluhan rakyat berkenaan harga barang yang semakin
meningkat seperti harga ayam dan telur, kenaikan harga minyak masak dan
sebagainya,” katanya.


Menurut beliau, setakat Jun 2022, inflasi Malaysia meningkat 3.4 peratus
berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya, manakala kadar inflasi
Sarawak meningkat 3.2 peratus berbanding pada bulan yang sama tahun
sebelumnya.

“Sehubungan itu, sebagai kerajaan yang mendengar dan prihatin terhadap
keluhan rakyat, Kerajaan Negeri Sarawak mengambil keputusan untuk menyambung
pemberian bantuan bagi meringankan beban rakyat Sarawak yang terkesan akibat
kenaikan kos sara hidup, terutama yang berpendapatan rendah,” katanya.

Lima langkah yang beliau umumkan dalam BSKK 9.0 berkenaan adalah meneruskan
pemberian diskaun bil elektrik antara lima hingga 25 peratus atas bil
bulanan kepada pengguna domestik, komersial dan industri mulai Julai hingga
Disember 2022, dan diskaun 10 hingga 25 peratus ke atas bil air bulanan
untuk pengguna domestik, komersial dan industri diteruskan mulai Julai
hingga Disember 2022.

Langkah ketiga ialah diskaun 25 peratus untuk taksiran kadar cukai pintu
tahunan melebihi RM400 dan diskaun 30 peratus untuk kadar cukai pintu
tahunan RM400 dan ke bawah untuk premis kediaman, komersial, industri dan
premis pegangan khas mulai Julai hingga Disember 2022 dan keempat ialah
diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk
peniaga dan penjaja diteruskan bagi bulan Julai hingga Disember 2022.

Langkah yang kelima ialah berkaitan bahan binaan tambahan di bawah
peruntukan khas untuk variasi harga (VOP) 2.0.

“Kenaikan harga bahan binaan telah memberi kesan buruk kepada pemain dalam
industri binaan.

“Sebagai usaha ke arah mengurangkan hakisan margin yang dihadapi oleh
kontraktor dan memastikan penyampaian projek kerajaan pada masa sukar ini,
jerajaan Sarawak telah memulakan Variasi Harga (VOP) 2.0 untuk menampung
kenaikan harga bahan binaan.

Projek yang dibiayai VOP 2.0 akan meliputi bidang kontrak berterusan dengan
Surat Setuju Terima (LOA) yang dikeluarkan antara 1 Januari 2021 hingga 31
Disember 2021.

Katanya, kerajaan Sarawak dianggarkan menanggung kos kira-kira RM700 juta
untuk membenarkan perubahan harga.

Tambahnya, dalam keadaan yang sukar sekarang ini, jerajaan Sarawak sentiasa
memikir dan melaksanakan langkah-langkah terbaik untuk membantu rakyat agar
memberi manfaat kepada semua golongan.

“Kita sekarang dalam fasa pemulihan ekonomi. Justeru itu, saya berharap
agar langkah-langkah dalam Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 9.0 yang
berjumlah hampir RM1.0 billion ini sedikit sebanyak dapat membantu
meringankan beban kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat Sarawak,”
tambah beliau.

Sumber: utusan.com.my