KWSP Umum Keuntungan | Hasil pelaburan kasar KWSP meningkat kepada RM48 bilion

Spread the love

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan
pelaburan kasar RM48.02 bilion untuk sembilan bulan pertama berakhir 30
September 2021, meningkat 7.7 peratus, atau RM3.42 bilion, berbanding RM44.60
bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama 2020.



Bagaimanapun, jumlah pendapatan pelaburan kasar untuk suku tahun ketiga
berakhir 30 September 2021 mencecah RM13.97 bilion, lebih rendah daripada
RM17.33 bilion yang direkodkan pada suku tahun yang sama 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata
pasaran ekuiti domestik dan pasaran baru muncul dalam suku tahun ketiga 2021
adalah tidak menentu, sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh kerisauan
sekitar peningkatan kadar inflasi dan faedah.
__________________________________________________________________________

Anda Mungkin Berminat Dengan Artikel Ini:

__________________________________________________________________________


“Pada masa yang sama, pemulihan berterusan ekuiti dalam ekonomi membangun
di sebalik suasana yang tidak menentu menyediakan peluang kepada KWSP
untuk memanfaatkan keuntungan tambahan,” katanya dalam satu
kenyataan.

Ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar sebanyak 54 peratus daripada
jumlah pendapatan pelaburan kasar berjumlah RM7.5 bilion.

Sebagai sebahagian daripada polisi dalaman dan langkah berhemah bagi
memastikan kemantapan portfolio KWSP, sebanyak RM110 juta turun nilai kos
untuk ekuiti tersenarai dicatatkan dalam suku tahun ketiga, berbanding
RM130 juta bilion pada suku tahun sama pada tahun lalu.

Setelah mengambil kira turun nilai kos, sebanyak RM13.86 bilion
pendapatan pelaburan bersih direkodkan pada suku ketiga 2021.

Secara kumulatif, sebanyak RM350 juta diturun nilai untuk ekuiti
tersenarai, lebih rendah daripada RM6.46 bilion untuk tempoh yang sama
pada 2020, di sebalik pemulihan berterusan dalam pasaran ekuiti global,
seterusnya menjadikan pendapatan pelaburan bersih RM47.67 bilion pada
sembilan bulan 2021, berbanding RM38.14 bilion untuk sembilan bulan
2020.

Pelaburan dalam pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM5 bilion, atau 36
peratus kepada pendapatan pelaburan kasar KWSP semasa suku ketiga 2021,
lebih rendah berbanding RM8.18 bilion yang dijana pada suku ketiga 2020,
berikutan keuntungan dagangan yang lebih rendah.

Ini adalah selari dengan hasil pasaran yang lebih tinggi pada suku ketiga
2021 berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Amir Hamzah menjelaskan, tekanan inflasi yang berterusan dan peralihan
agresif daripada bank pusat mendorong peningkatan hasil dalam suku tahun
ketiga, lanjutan daripada jangkaan bahawa dasar monetari akan
diketatkan.

“Suasana kenaikan kadar pulangan bon bukan saja memberi impak kepada
pasaran bon, ia juga memberi kesan ke atas ekuiti,” katanya.

Hartanah dan infrastruktur, serta instrumen pasaran wang, masing-masing
menyumbang RM1.18 bilion dan RM290 juta.

Setakat September 2021, aset pelaburan KWSP adalah pada RM988.55 bilion,
di mana 36 peratus dilaburkan ke dalam pelaburan luar negara.

Kepelbagaian KWSP ke dalam kelas aset, pasaran dan mata wang yang
berlainan, terus memberikan kestabilan pendapatan dan menambah nilai
kepada keseluruhan pendapatan KWSP.

Pada suku ketiga 2021, pelaburan luar negara menjana pendapatan sebanyak
RM8.1 bilion, yang merangkumi 58 peratus daripada keseluruhan pendapatan
pelaburan kasar yang direkodkan.

Sejumlah RM1.4 bilion daripada RM13.97 bilion pendapatan pelaburan kasar
dijana untuk Simpanan Shariah dan RM12.57 bilion untuk Simpanan
Konvensional.

Simpanan Shariah memperolehi pendapatannya hanya daripada bahagian
portfolio Shariah, manakala pendapatan untuk Simpanan Konvensional adalah
daripada kedua-dua portfolio Shariah dan konvensional.

SUMBER:
Berita Harian