Senarai Bantuan Ketika PKP 3.0

Spread the love



Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bantuan terkini
khas untuk rakyat Malaysia rentetan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP) 3.0 iaitu Program Strategik Memperkasa Rakyat & Ekonomi Tambahan
(PEMERKASA Plus)

Untuk pengetahuan anda, kerajaan telah membuat
keputusan untuk melaksanakan PKP 3.0 pada 12 Mei 2021 yang lalu atas
keseinambungan peningkatan kes jangkitan wabak COVID-19 di Malaysia
kebelakangan ini.

Jumlah keseluruhan program PEMERKASA Plus yang
diperuntukkan oleh kerajaan adalah sebanyak RM40 bilion ringgit yang mana
suntikan langsung fiskal kerajaan adalah sebanyak RM5 bilion ringgit.

Bantuan-bantuan
yang diumumkan ini menerusi PEMERKASA Plus diharap mampu membantu golongan
yang terjejas terutamanya golongan B40 dalam meneruskan kehidupan mereka
ketika PKP 3.0 ini dilaksanakan.

Objektif PEMERKASA Plus

Untuk makluman, terdapat 3 matlamat utama pelaksanaan PEMERKASA Plus
iaitu:

  • Mempertingkatkan Kapasiti Kesihatan Awam
  • Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat
  • Menyokong Kelangsungan Perniagaan

Matlamat Pertama: Mempertingkatkan Kapasiti Kesihatan Awam



Menerusi matlamat ini, kerajaan telah mengumumkan beberapa bentuk bantuan
melibatkan peruntukan sebanyak RM1 bilion iaitu:

  • Peruntukan RM450 juta bagi meningkatkan kapasiti katil dan peralatan
    ICU bagi rawatan COVID-19, bukan sahaja di Hospital seliaan KKM tetapi
    juga di Hospital Pengajar Universiti Awam.
  • Peruntukan RM550 juta untuk menampung keperluan perbelanjaan
    berkaitan COVID-19 pelbagai.
  • Melanjutkan tempoh perkhidmatan lebih 14,000 pegawai perubatan dan
    jururawat lantikan kontrak sedia ada sehingga tahun 2022.

Matlamat Kedua: Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat


Bagi matlamat ini, kerajaan telah mengumumkan beberapa bantuan seperti:

  • Menambah kadar program Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR yang akan
    dibayar pada penghujung Jun 2021:
  • – Kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500, mereka akan
    menerima kadar BPR tambahan sebanyak RM500.
  • – Kategori isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 akan
    menerima kadar sebanyak RM300.
  • – Individu bujang pula akan menerima RM100.
  • Kelulusan moratorium secara automatik selama 3 bulan atau boleh
    memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran
    sebanyak 50% selama tempoh 6 bulan bagi golongan B40 dan rakyat yang
    terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS
    yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.
  • Peruntukan RM1 bilion bagi Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan
    Teksi.
  • Penerusan program MARA PRIHATIN Peace of Mind yang dibuka sehingga 31
    Julai 2021.
  • Pelanjutan
    Program Subsidi Upah
    selama 1 bulan bagi semua sektor ekonomi yang terkesan dengan kos
    RM1.5 dengan had 500 pekerja bagi setiap permohonan, ditanggung oleh
    Kerajaan.
  • Pengecualian pembayaran levi selama satu bulan pada bulan Jun 2021
    bagi majikan yang berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia
    Berhad.

Matlamat Ketiga: Menyokong Kelangsungan Perniagaan


Kerajaan mengumumkan beberapa bantuan menerusi matlamat ini iaitu:

  • Penambahan kadar Geran Khas Prihatin (GKP) kepada RM1,500.
  • Pembiayaan sebanyak RM1.5 bilion ringgit bagi pembiayaan mikro kredit
    oleh BSN, TEKUN, MARA, SME Corp. dan YAPEIM dengan kadar pembiayaan
    serendah 3%.
  • Penambahan fasiliti Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar untuk
    PKS terjejas sebanyak RM2 bilion.
  • Bantuan Khas secara one-off sebanyak RM500 kepada 17 ribu pemandu
    pelancong, 40 ribu pemandu teksi, 11 ribu pemandu bas sekolah, 4 ribu
    bas persiaran dan 62 ribu pemandu kereta sewa dan e-hailing.
  • Lembaga Hasil Dalam Negeri akan mempertimbangkan rayuan pengenaan
    penalti dan menangguhkan pembayaran penalti ke tahun 2022.
  • Pelanjutan untuk penghantaran penyata kewangan, pelaksanaan mesyuarat
    tahunan bagi syarikat awam yang tersenarai di Bursa Malaysia dan
    moratorium denda bagi penghantaran lambat dokumen berkanun oleh
    SSM.
  • Pengecualian bayaran lewat untuk membaharui lesen perniagaan sehingga
    31 Disember 2021 bagi PKS mikro serta perniagaan milikan tunggal dan
    perkongsian.
  • Menambah baik Akta Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit
    COVID-19 atau Akta 829.
  • Pemberian
    diskaun bil elektrik
    sebanyak 10% selama 3 bulan kepada pengendali hotel, agensi
    pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks membeli belah,
    pusat-pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan
    tempatan.
  • Potongan khas kepada pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang
    menawarkan pengurangan sewa premis perniagaan kepada PKS dan bukan PKS
    untuk tempoh 6 bulan lagi sehingga 31 Disember 2021 bagi pengurangan
    sewa sekurang-kurangnya 30% daripada kadar sewa semasa.
  • Pelanjutan dan pengecualian duti setem Kempen Pemilikan Rumah (HOC)
    sehingga 31 Disember 2021.
  • Melanjutkan pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang CKD
    dan CBU import hingga 31 Disember 2021.

Maklumat Lanjut

Maklumat lanjut mengenai setiap bantuan, sila rujuk kepada laman web
Kementerian Kewangan iaitu
https://www.mof.gov.my/ms/.