i-Lestari | Pengeluaran i-Lestari untuk diri, tanggungan tidak wajib zakat di Perak

Spread the love

IPOH: Pengeluaran i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
bagi tujuan kelangsungan hidup diri sendiri dan tanggungan oleh ahli
yang beragama Islam di Perak tidak diwajibkan zakat.

Menurut
kenyataan Zakat Perak-Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk),
perkara itu telah diperakukan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, setelah
mendapat pandangan Penasihat Shariah KWSP.

“Pengeluaran
bagi tujuan tersebut, selain untuk menampung keperluan asas seperti
makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan, dikira
sebagai pengeluaran di bawah kategori Hajah Asliyah dan tidak diwajibkan
zakat,” demikian menurut kenyataan itu di sini.

Sementara
itu, bagi ahli KWSP yang membuat pengeluaran i-Lestari bukan untuk
tujuan menampung keperluan asas diri sendiri dan tanggungan, maka zakat
adalah diwajibkan berdasarkan Zakat Mal Mustafad iaitu 2.5 peratus,
daripada jumlah dikeluarkan.

“Semoga pencerahan ini ada
manfaatnya buat masyarakat dan kita tidak terlalai dengan apa yang
menjadi kewajipan atas diri kita sendiri,” menurut kenyataan itu.

Pengeluaran
i-Lestari sehingga maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan daripada
Akaun 2 KWSP, bertujuan meringankan beban orang ramai kesan daripada
penularan wabak COVID-19.

-BERNAMA

Sumber: Berita Harian