Ketua Pemuda UMNO Mencadangkan Agar Kerajaan Menawarkan Moratorium 2.0 Tanpa Faedah Tambahan

Spread the love


tele

Pemuda UMNO Mencadangkan Agar Kerajaan Menawarkan Moratorium 2.0 Tanpa
Faedah Tambahan



SHAH ALAM – Pemuda UMNO menggesa kerajaan memanfaatkan sepenuhnya kuasa di
bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk memastikan institusi
perbankan dan kewangan negara menawarkan moratorium 2.0 tanpa caj atau
faedah tambahan selama tiga bulan secara automatik.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut mencadangkan tujuh sebab
munasabah dan justifikasi ekonomi kemunasabahan Moratorium 2.0
berkenaan.

Menurutnya, perkara itu bertujuan untuk meringankan tanggungan rakyat
sekali gus menjamin ketenteraman dan kesihatan mental mereka sepanjang
menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pertama memastikan keupayaan tunai rakyat tidak terjejas akibat
pelaksanaan ‘total lockdown’ sehingga menyebabkan ekonomi negara terjejas
teruk akibat penurunan drastik perbelanjaan isi rumah terutama pembiayaan
keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan utiliti.

“Ramai yang berhadapan dengan masalah tunai akibat simpanan yang merosot
teruk berbanding PKP 1.0 dahulu,” katanya menerusi kenyataan pada
Jumaat.

Beliau menambah, kemunasabahan dan justifikasi kedua ialah penangguhan
bayaran ansuran pinjaman bank juga dapat menangani kemuflisan akibat
kejatuhan teruk pendapatan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS),
golongan bekerja sendiri dan isi rumah yang tiada pendapatan tetap termasuk
mereka golongan M40.

“Ketiga, fenomena muflis dalam kalangan rakyat akibat pendapatan yang
terjejas dan ketidakupayaan membayar ansuran pinjaman atau pembiayaan bank
akan menyebabkan kerosakan teruk kepada ekonomi negara sekaligus memberi
kesan langsung terhadap operasi dan tahap kestabilan institusi perbankan dan
kewangan tempatan.

“Keempat, penawaran moratorium mampu menjamin kestabilan sistem kewangan
sekaligus mengelakkan bank-bank berhadapan dengan fonomena ketidakupayaan
pelanggan membayar balik hingga membawa kepada peningkatan kadar pinjaman
tak berbayar,” katanya.

Asyraf berkata lagi, bagi rasional dan justifikasi kelima ialah keupayaan
institusi perbankan tempatan menyerap sebarang potensi kejutan pasaran masih
berada pada tahap yang kukuh sebagaimana piawai antarabangsa dan Bank Negara
Malaysia (BNM).

“Keenam, tahap kecairan bank tempatan juga berada dalam keadaan yang sihat
berdasarkan laporan Tahap Liputan Kecairan BNM bagi sistem perbankan negara
iaitu pada 145.1 peratus dan melebihi keperluan minimum 100 peratus walaupun
melaksanakan moratorium 1.0 ketika PKP 1.0,” katanya.

Menurut Asyraf, rasional dan justifikasi ketujuh ialah pelaksanaan
moratorium 1.0 yang terdahulu juga ternyata tidak menjejaskan keupayaan
institusi perbankan menjana keuntungan.

“Bank-bank tempatan baru mengumumkan keuntungan selesa bagi Suku Pertama
Tahun 2021 seperti Maybank (RM2.39 bilion), Public Bank (RM1.53 bilion),
Hong Leong Bank (RM2.17 bilion), RHB Bank (RM650.39 juta), Bank Islam
(RM202.46 juta) dan Affin Bank (RM68.94 juta),” katanya.

Menurutnya, di samping tujuh rasional dan justifikasi berkenaan, pihaknya
menggesa kerajaan mengarahkan agensi pembiayaan dan kredit milik kerajaan
yang memberi fokus kepada golongan B40 dan perusahaan mikro seperti Majlis
Amanah Rakyat (Mara), Tekun Nasional (Tekun), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)
dan SME Bank melaksanakan moratorium kepada peserta program mereka.

SUMBER: