VIDEO: Penjelasan Dato Seri Najib Razak Kenapa Jumlah RM10,000 “One-Off” Mampu KWSP Sediakan.

Spread the love

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan bersyarat terhadap
Belanjawan 2021 dengan menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran ‘one-off’
hingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain
melanjutkan moratorium.



Ketika menyatakan perkara itu, Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) yang juga
Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), turut berpandangan
pindaan terhadap Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 wajar dilakukan,
mengambil kira situasi luar biasa dihadapi negara ketika ini susulan
pandemik Covid-19.

“Bajet ini dibuat dalam keadaan luar biasa,
kalau kita nak pinda pun bajet ini, ia wajar dilakukan sebab ini keadaan
luar biasa dan tambahan lagi dalam hal ini, pendirian BN seperti mana
disuarakan oleh (Ahli Parlimen) Bagan Datuk (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi) bahawa kita nak pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000 secara ‘one-off’
dan moratorium dilanjutkan hingga 30 Jun 2021 diluluskan oleh kerajaan.

“Sokongan
saya dan rakan-rakan terhadap bajet ini tertakluk kepada kelulusan kedua-dua
ini, jadi sokongan kita (BN) pada bajet ini sokongan bersyarat,” katanya
ketika membahaskan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat hari ini.



Beliau berkata demikian sebagai menjawab celahan Datuk Seri Ahmad Maslan
(BN-Pontian) mengenai kemungkinan Rang Undang-Undang Perbekalan kali ini
dipinda kerana sepanjang pengalamannya sebagai ahli Parlimen, perkara itu
tidak pernah berlaku.

Pada awal perbahasan, suasana hangat
seketika apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) mempersoalkan tempoh 90 minit
yang diberikan kepada Najib dan memulakan perbahasan bagi pihak penyokong
kerajaan sedangkan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) adalah Pengerusi
Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) yang seharusnya memulakan
perbahasan rang undang-undang itu untuk blok kerajaan.


Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bagaimanapun
menjelaskan Najib dipilih sebagai pembahas utama blok kerajaan, oleh itu
beliau diberikan 90 minit sebagaimana tempoh berbahas bagi Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Meneruskan
perbahasan, Najib berkata, berdasarkan harapan rakyat, Belanjawan 2021
perlu dibuat penambahbaikan supaya penerimaan rakyat menjadi lebih mantap
dan menyeluruh.

Najib berkata, langkah pengeluaran secara
‘one-off’ KWSP diperlukan untuk menaikkan kitaran wang dalam ekonomi pada
masa perbelanjaan kerajaan adalah terhad, serta boleh digunakan rakyat
sebagai penyelesaian tunggakan hutang, selain menjadi modal asas memulakan
perniagaan kecil terutama bagi mereka yang kehilangan pekerjaan.

“Tanggungjawab
kerajaan bukan untuk menafikan pencarum daripada mengakses wang milik
mereka sendiri pada masa mereka paling terdesak. Fokus kerajaan pula ialah
mencari jalan untuk memulih dan memastikan pencarum dengan baki simpanan
yang rendah dapat menambah simpanan mereka dengan kadar paling cepat,”
katanya.

Najib berkata, perkara itu boleh dilakukan menerusi
tiga cara, iaitu membantu KWSP meraih pendapatan yang lebih dengan memberi
projek lumayan kepada KWSP; menaikkan semula kadar caruman bulanan majikan
dan pencarum; serta mengubah struktur pembayaran dividen kepada struktur
berperingkat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, cadangan
lanjutan moratorium selama enam bulan lagi perlu dipanjangkan kepada semua
peminjam, termasuk pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tekun selain
Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi penjawat awam.

Dalam
pada itu, Najib mengingatkan kerajaan supaya tidak meneruskan perkara
tidak disenangi rakyat termasuk peruntukan bagi agensi Jabatan Hal Ehwal
khas (Jasa) yang boleh dibelanjakan untuk pembelian pelitup muka, cecair
pencuci tangan kepada rakyat atau diberi kepada ibu bapa bagi menggantikan
bekalan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk murid-murid yang dinafikan
sarapan pagi kerana sekolah ditutup.

Selain itu, Najib turut
mencadangkan kerajaan melaksanakan Rancangan Pandang ke Borneo sebagai
pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi seluruh negara untuk jangka masa
sederhana dan panjang.

Beliau berkata, Sabah dan Sarawak
mempunyai sumber kekayaan semula jadi yang amat besar dan lokasi yang
strategik kerana berada lebih dekat dengan negara-negara yang pesat
membangun di Asia Timur berbanding Semenanjung Malaysia.

“Secara
asasnya, negeri yang kurang membangun akan mengalami pertumbuhan dengan
lebih pesat jika diberi perhatian dan pelaburan yang sewajarnya. Adalah
tidak masuk akal jika kita menggalakkan syarikat-syarikat dari Malaysia
untuk melabur di luar negara tanpa memberi peluang mereka melabur di Sabah
dan Sarawak yang penuh dengan potensi,” katanya.


Sumber: HMetro